
Chew Choon How, 37; Nick Tan Yang Peng, 22; William Teng Wei Siang, 22; Chua Kah Kheng, 29; Alfie Quek Choon Ee, 27; Yap Ching Hau, 32; Ng Shi Yun, 32; Wong Chun Wei, 33; Kenson Lim Kian Kai, 29; Yew Ting Xian, 24; Kang Yong Jun, 20; Khoo Tian Le, 21; Chua Kah Shin, 25, dan Yap Qing Zhen, 26, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa secara bersama membantu aktiviti pemberi pinjaman wang tidak berlesen dengan memiliki kad pinjaman wang tanpa kelulusan di kawasan awam dan memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) pihak ketiga.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Guest House, Lorong Galing 57/3, Perumahan Galing di sini pada 7 pagi 23 Sept lalu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Abdul Wahab menawarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Zaharman Zainal Abidin dan Badrulzaman Abu Bakar yang mewakili semua tertuduh meminta wang jaminan dikurangkan atas alasan semua tertuduh perlu menanggung keluarga mereka.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 2 Nov ini.
Sementara itu, empat individu mengaku tidak bersalah atas tuduhan membantu menawarkan pinjaman wang mengelirukan di mahkamah berasingan.
Pengakuan itu dibuat Lee Han Chai, 44; Loo Chun Kit, 27; Lee Kin Shen, 25, dan Tan Hean Jun, 35, di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari.
Mereka didakwa dengan niat bersama membantu menawarkan pinjaman wang mengelirukan dan tidak jujur dengan maksud mendorong atau cuba mendorong mana-mana individu meminjam wang atau bersetuju dengan terma wang itu akan diberikan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 96, Lorong Semambu 9, Taman Sega di sini pada 7.15 pagi 23 Sept lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 27 Okt ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Adilah Muhammad Faizal dan semua tertuduh diwakili Zaharman.