
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, Ketua Menteri, Hajiji Noor perlu mengkaji semula bajet negeri 2022, yang dibentangkannya semalam, dan memperuntukan lebih banyak dana untuk pemulihan ekonomi serta projek awam seperti tebatan banjir.
Hajiji mengumumkan kerajaan negeri bercadang membelanjakan RM4.596 bilion, dengan pendapatan dianggarkan RM4.707 bilion yang akan menghasilkan lebihan bajet berjumlah RM110.68 juta.
Bagaimanapun, Chan berkata: “Ini bukan masanya kerajaan GRS mengemukakan bajet konservatif dengan tujuan hanya menyediakan dana mencukupi bagi setiap jabatan untuk bertahan tahun ini tanpa sebarang rancangan tambahan atau bantuan.”
Katanya, kerajaan persekutuan bahkan membentangkan bajet defisit berjumlah RM332 bilion dengan anggaran pendapatan berjumlah RM234 bilion.
Chan berkata, bajet konservatif Sabah akan menyebabkan penduduk di pinggir bandar ibu negeri, yang kerap berdepan gangguan bekalan air, menjangkakan masalah air mereka berlarutan sehingga tahun depan.
“Selain itu, penduduk di Likas, Kolombong dan Inanam meramalkan banjir kilat dan masalah lain berlanjutan.
“Amat memalukan kerajaan negeri tidak melihat masalah itu memerlukan perhatian segera kerana ia membabitkan kehidupan asas rakyat.”
Katanya, kerajaan GRS juga sepatutnya mengambil inisiatif memperuntukkan dana bagi mewujudkan peluang pekerjaan atau menganjurkan program yang mampu menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
“Data Kementerian Sumber Manusia menunjukkan 2,667 belia di Sabah kehilangan kerja antara Jan hingga Nov tahun ini, dengan kadar pengangguran belia di tahap 17.3%.”
Chan berkata, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak pakej rangsangan ekonomi, terutama membabitkan sektor paling terkesan seperti pelancongan, termasuk subsidi upah dan pendapatan.