Segerakan siasatan tanah runtuh di Kampung Sungai Penchala, titah Agong

Segerakan siasatan tanah runtuh di Kampung Sungai Penchala, titah Agong

Titah itu dikeluarkan ketika baginda berkenan melawat mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, Damansara di sini, hari ini.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat mangsa tanah runtuh yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala hari ini.
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan siasatan kejadian tanah runtuh di Jalan Pelimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, di sini dilakukan secepat mungkin.

Baginda bertitah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi penjelasan untuk menempatkan sebahagian penduduk terjejas ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin di sini.

“Ini tinjauan atas simpati terhadap mangsa tanah runtuh. Saya amat simpati dengan penghuni Kampung Sungai Penchala ini,” titah baginda selepas menyantuni 136 mangsa tanah runtuh di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, Damansara, di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka sekitar 2 petang disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim. Baginda meluangkan kira-kira sejam menyantuni mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Terdahulu, Seri Paduka memandu bersama konvoi Istana Negara ke PPS itu.

Ahad lalu, 284 penduduk di Jalan Pelimbayan Indah terjejas akibat tanah runtuh yang membabitkan 94 rumah, dengan 24 rumah musnah sepenuhnya.

Sementara itu, Sultan Abdullah menitahkan semua pihak, termasuk dirinya, individu perseorangan, badan bukan kerajaan, syarikat, agensi kerajaan dan kerajaan tampil membantu mangsa banjir serta tanah runtuh susulan hujan lebat yang melanda negara sejak Jumaat lalu.

“Apa yang saya boleh nyatakan ialah amat sedih dan simpati. Namun, kita semua kena menerima ujian Allah ini, harus bersabar. Mana-mana pihak, mana-mana insan yang bersabar tetap akan diberi kebaikan kemudian.”

Seri Paduka meluangkan kira-kira sejam menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.