
Beliau berkata, PN harus sedar bahawa gabungan itu hanya dipergunakan oleh BN untuk kembali berkuasa seperti dalam PRN Melaka.
Katanya, BN telah puas memperalatkan PN sejak “Langkah Sheraton” dan PN perlu berhenti membenarkan dirinya diperguna serta menzahirkan diri sebagai parti yang bermaruah dan mempunyai harga diri.
“Kalau PN boikot PRN Johor, “undi tolak BN” akan bersatu dan BN akan dikalahkan.
“Hentikan diri daripada digunakan sebagai pemecah ‘undi menolak BN’ dengan tidak bertanding dalam PRN Johor,” katanya dalam kenyataan.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, cadangan itu mungkin dilihat agak ekstrem oleh sebahagian pimpinan PN, tetapi itu sahaja cara yang ada untuk mengajar BN.
Beliau berkata, sekiranya BN kalah pada PRN Johor, ia akan kembali merayu dan memujuk PN untuk bersama dalam PRU15.
“Baru akan terzahir nilai tambah yang dibawa PN. Perlu diperakui kelicikan BN. Ia menyokong PN pada awalnya hanya untuk muncul sebagai juara akhirnya,” katanya.
Menurutnya, semasa PRN Melaka, BN mendapat hanya 38% undi popular namun memperoleh majoriti 2/3 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Keadaan ini mungkin dianggap pelik, namun itulah hakikatnya. Ia berlaku kerana undi yang menolak BN pecah antara PH, yang mendapat 37% dan PN, yang mendapat 25% undi popular,” katanya.