
Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, hasrat itu akan disampaikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Hasni Mohammad dalam pertemuan esok.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, perjumpaan terbabit adalah bagi memuktamadkan pembahagian kerusi gabungan tersebut.
“Presiden (MIC) telah sampaikan untuk kita kekal bertanding di kerusi yang kita tandingi sebelum ini.
“Kita di peringkat BN memang mengamalkan perkongsian kuasa dan kita akan membuat pilihan terbaik untuk parti dan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Usahawan TEKUN, di sini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar.
Pada pilihan raya umum ke-14, MIC Johor memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh dan Kahang, manakala tewas di kerusi DUN Gambir dan Skudai.
Ditanya mengenai permintaan MIC Bahagian Kulai yang mahu bertanding di DUN Bukit Batu, Saravanan berkata, ia menjadi kebiasaan bagi pihak tertentu menuntut kerusi setiap kali menjelang pilihan raya.
Menurut Saravanan, mana-mana pihak boleh memohon untuk bertanding di kerusi yang diingini tetapi akhirnya pucuk pimpinan akan memutuskan perkara tersebut.