
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, agensi terbabit sepatutnya memulakan siasatan susulan keterangan mahkamah dan kemas kini status siasatan perlu diberikan.
“Mengapa tiada sebarang tangkapan walaupun pihak berkuasa tahu mengenai keterangan Leissner? Berapa lama lagi rakyat harus tunggu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Leissner adalah saksi utama dalam perbicaraan rasuah Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia.
Pendakwa berkata, kedua-dua lelaki itu membantu menyalurkan berbilion-bilion ringgit dana daripada 1MDB untuk digunakan sebagai rasuah kepada ahli politik dan individu lain.
Ng menafikan sebarang salah laku.
Lim berkata, Leissner memberi keterangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan pindahan tukaran mata wang asing sebanyak USD1 bilion “dalam tempoh semalaman” daripada 1MDB kepada PetroSaudi International selepas suami bekas gabenor BNM didakwa menerima rasuah untuk “melaksanakannya”.
Leissner menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang “tidak pernah berlaku”.
Tambahan lagi kata Lim, Leissner juga mendakwa bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat senaraian awam di Malaysia, yang mempunyai hubungan dengannya, mengugut untuk mendedahkan penglibatannya dalam skandal 1MDB dan dia membelikan untuk wanita itu rumah bernilai USD10 juta di London.
“Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika ada sebarang siasatan dijalankan berhubung dua dakwaan Leissner itu,” katanya.
Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk kepada syarat bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953 yang berkuat kuasa sebelum 2013.
Syarat serta kriteria yang mengawal selia pelaburan tersebut telus dan diterbitkan di laman sesawang BNM, tambahnya.
“Semua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan di atas, adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti lain kepada BNM,” katanya.