
Peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohamad yang mewakili Mohamad Faiz Mohd Ruseli telah memetik kes Najib yang disabitkan dengan tujuh pertuduhan rasuah membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tetapi diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuannya selesai.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Kamaludin Md Said, Che Mohd Ruzima Ghazali dan Hashim Hamzah bersetuju membenarkan permohonan Mohamad Faiz untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.
“Kami bersetuju hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman,” kata Kamaludin.
Faiz dibenarkan diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis Binjai di Kota Bharu, Kelantan, dua minggu sekali sehingga rayuannya didengar.
Pada 28 Julai 2020, Faiz, 25, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Nus Hassan, 42, di Kampung Tambak Banggu, Kota Bharu, Kelantan pada 7 malam pada 26 Jun 2019.
Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan memerintahkan dia dikenakan dua sebatan tetapi membenarkan permohonan Faiz untuk penangguhan pelaksanaan hukumannya sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, pada 14 Dis 2020, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan menolak penangguhan pelaksanaan hukuman penjara Faiz sementara menunggu rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ke Mahkamah Rayuan.
Secara kebetulan, Faiz dan Najib dijatuhkan hukuman oleh mahkamah berbeza atas pertuduhan berbeza pada hari sama pada 28 Julai 2020.
Dalam kes Najib, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan juga membenarkannya dibebaskan dengan jaminan RM2 juta.
Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, juga membenarkan Najib menangguhkan pelaksanaan hukumannya dan denda sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.