Dakwaan rasuah: Penang FC minta pemilik Instagram, ‘AirielShahezrie’ hadir ke pejabat SPRM

Dakwaan rasuah: Penang FC minta pemilik Instagram, ‘AirielShahezrie’ hadir ke pejabat SPRM

Arahan itu susulan pemilik akaun terbabit membuat komen pemain Penang FC terima rasuah dalam Instagram rasmi milik pasukan itu.

Penang FC juga mengingatkan sekiranya individu berkenaan enggan bertanggungjawab atas kenyataan atau komen yang dibuat, tindakan saman fitnah akan dimulakan. (Gambar Facebook Penang FC)
PETALING JAYA:
Pemilik akaun Instagram yang menggunakan nama ‘AirielShahezrie’ diminta hadir ke ke pejabat kelab berkenaan atau pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan pemain skuad Harimau Kumbang menerima rasuah.

Penang FC dalam kenyataan berkata, pemilik akaun terbabit telah membuat komen di media sosial Instagram rasmi milik Penang FC dan kelab itu memandang serius kerana ia melibatkan tuduhan berat.

Malah, kelab itu memaklumkan sekiranya individu berkenaan enggan bertanggungjawab atas kenyataan atau komen yang dibuat, tindakan saman fitnah akan dimulakan.

“Pihak pengurusan mengambil berat tuduhan rasuah yang dinyatakan oleh seorang pelayar media rasmi Instagram milik Penang FC bernama AirielShahezrie.

“Oleh kerana tuduhan ini amat berat, sebagai individu yang bertanggungjawab dan bertanggungan atas setiap dakwaan diminta untuk hadir ke pejabat Penang FC dan seterusnya bersama-sama wakil pengurusan ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang untuk merakamkan aduan beliau bagi membolehkan beliau tampil menjadi saksi di mahkamah bagi mengukuhkan tuduhan.

“Kita sentiasa mengalu-alukan apa-apa kenyataan dakwaan yang berani di kalangan orang ramai untuk membanteras sebarang bentuk salahlaku rasuah dalam kelab.

“Namun jika individu ini enggan bertanggungjawab atas kenyataan beliau, tindakan saman fitnah akan dimulakan ke atas individu berkenaan, di samping satu laporan polis akan dibuat bagi membolehkan penyiasatan fitnah jenayah dimulakan ke atas individu berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Selain itu, Penang FC menasihatkan supaya mana-mana individu tidak membuat tuduhan yang boleh menjatuhkan reputasi kelab atau pemain dan pegawai pasukan berkenaan.

“Dalam apa jua keadaan, orang ramai dinasihatkan tidak mudah membuat apa-apa tuduhan yang bersangkutan kes jenayah yang dilihat berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi kelab, pegawai dan pemain agar tidak dikenakan apa-apa tindakan undang-undang yang boleh menimbulkan kesulitan yang tidak perlu ke atas individu yang membuat tohmahan berkenaan.

“Dengan ini diminta encik AirielShahezrie tampil ke Pejabat Penang FC atau ke Pejabat SPRM bagi membolehkan penyiasatan dibuat berhubung dakwaan beliau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.