
“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa saya telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, tuduhan tersebut adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan dengan beberapa pimpinan parti politik selain Barisan Nasional (BN) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang (PRU15).
Katanya, perkara itu dibincangkan secara tidak rasmi apabila ada beberapa pemimpin parti pembangkang menemuinya selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor.
“Rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN.
“Ini kerana, kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata-mata kerana undi parti-parti, selain BN berpecah. BN tidak mendapat sokongan majoriti rakyat, malah sokongan kepada parti itu tidak bertambah,” katanya.
Selepas daripada pertemuan itu, Muhyiddin berkata, beliau juga mengambil inisiatif berhubung dengan pimpinan parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu.
Beliau berkata, inisiatif terbabit mendapat persetujuan Biro Politik Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
“Formula satu lawan satu dikemukakan Bersatu bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik.
“Tujuan persefahaman ini untuk mengelak pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BN seperti yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, ‘electoral pact’ itu mesti diasaskan kepada satu agenda bersama untuk memastikan Malaysia tidak kembali dikuasai kumpulan kleptokrat yang kini menguasai BN.
“Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti-parti politik selain BN, saya mengambil maklum tentang pendirian setiap parti berhubung cadangan ini.
“Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini,” katanya.
Terdahulu, Presiden Warisan Shafie Apdal mendedahkan Muhyiddin mendakwa mempunyai sokongan 119 ahli Parlimen di Dewan Rakyat, untuk kembali menjadi perdana menteri.