Reman suspek kes rogol 19 tahun lalu dilanjut 3 hari

Reman suspek kes rogol 19 tahun lalu dilanjut 3 hari

Polis menahan suspek itu Khamis lalu berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada data profil ujian DNA.

Suspek berusia 40 tahun itu akan direman sehingga 16 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
PARIT BUNTAR:
Reman terhadap seorang lelaki berkaitan kes rogol yang berlaku 19 tahun lalu (2003) disambung tiga hari lagi sehingga 16 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Mazuki Mat ketika dihubungi berkata, perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Suspek berusia 40 tahun itu sebelum ini direman empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Bagan Serai bermula 10 Jun sehingga hari ini.

Polis menahan suspek yang disyaki terlibat kes rogol di Bagan Serai itu selepas 19 tahun meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan dilapor berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada 9.30 malam di sekitar Bagan Serai pada Khamis lalu.

Menurutnya, hasil padanan data profil DNA, polis percaya dapat menyelesaikan kes rogol yang berlaku pada 2003 dengan tertangkapnya suspek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.