
Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, bilangan menteri di Malaysia sudah mencukupi dengan Ismail Sabri Yaakob memimpin 31 anggota dalam Jemaah Menteri.
Wong, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berkata, menubuhkan satu lagi kementerian semata-mata untuk mengekalkan kedudukan Zuraida sebagai menteri dan menjaga kepentingan Bersatu hanya akan menambah “kegemukan” Jemaah Menteri.
“Jemaah Menteri kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 hanya mempunyai 28 anggota walaupun mempunyai majoriti ahli Parlimen lebih besar,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
“Namun Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar dipecahkan kepada tiga kementerian berasingan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Alam Sekitar dan Air.
“Ini bukan kerana kerumitan menguruskan tanggungjawab, bahkan ia sekadar “langkah mewujudkan perjawatan” untuk disandang ahli Parlimen kerajaan bagi mendapatkan dokongan berterusan.”
Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, perdana menteri mempunyai kebebasan untuk mengekalkan Zuraida dalam Jemaah Menteri selagi Bersatu kekal mendapat kuota menteri.
Beliau berkata, Ismail boleh mewujudkan kementerian baharu jika dinginkan, selain menambah bahawa ia adalah “hak” perdana menteri.
Muhyiddin juga menggesa Ismail supaya segera memutuskan kedudukan Zuraida dengan berkata bahawa beliau sudah mempunyai calon untuk menggantikannya.
Zuraida yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi, dilantik memegang portfolio itu pada 27 Ogos tahun lalu ketika masih bersama Bersatu.
Beliau meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), pada 26 Mei.
Sebelum ini, kepimpinan Bersatu berkata, Zuraida perlu digantikan dengan wakil daripada parti itu susulan kedudukan menteri diberikan dalam bentuk kuota parti.