

Lim yang juga pengerusi DAP berkata kontraktor dipilih telah gagal menjalankan tugas untuk fasa pertama projek terbabit yang menelan belanja RM58 juta seperti dalam kenyataan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Semalam, Chow menjelaskan kos perbelanjaan untuk fasa pertama hanya RM58 juta bukan RM247 juta seperti didakwa Lim dalam kritikannya di media sosial.
Lim yang digantikan Chow sebagai ketua menteri Pulau Pinang pada 2018 mempersoalkan bagaimana keyakinan boleh diletakkan pada kontraktor sama bagi menyiapkan baki projek bernilai RM189 juta dengan teratur.
“Taman rekreasi di tepian pantai Gurney Bay ini adalah satu-satunya di Malaysia, mula diperkatakan dan dicadangkan di kawasan tambakan terbabit ketika saya berkhidmat sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
“Orang awam pasti mahu melihat pembinaan fasa dua kelak siap dengan sempurna, namun prestasi kontraktor ini tidak memberikan sebarang sebab untuk kita menjadi optimis,” katanya dalam kenyataan.
Lim menegaskan syarat tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun bukan faktor untuk membenarkan kontraktor tidak melaksanakan tugasnya sebaik mungkin atau lesen bekerja sambil lewa hanya kerana ia boleh dibaiki kemudian.
“Kita bernasib baik kerana tiada kanak-kanak tercedera akibat kerosakan di taman permainan kanak-kanak itu. Bayangkan trauma dialami sekiranya tali pada alatan permainan tersebut putus?.
“Tidak munasabah bagi pimpinan kerajaan melindungi kontraktor atau penjawat awam yang telah gagal di dalam penyeliaan tugas dan pemantauan kerja secara pofesional apabila melibatkan kepentingan orang awam,” katanya.
“Tidak sepatutnya kerajaan membiarkan sahaja kontraktor mahupun penjawat awam yang culas dalam melaksanakan tanggungjawab dengan membiarkan peralatan tersebut rosak pada hari pertama dibuka kepada orang ramai.”
Semalam, Lim mengkritik kualiti kerja fasa pertama Taman Gurney Bay yang dilaporkan mengalami keretakan struktur konkrit, meskipun projek itu baharu dibuka kepada orang awam.
Beliau turut berkongsi dua keping gambar menunjukkan tali pada alat permainan kanak-kanak di taman berkenaan telah rosak.
Fasa pertama Taman Gurney Bay yang berluasan 11.2 hektar dilengkapi pelbagai kemudahan seperti taman permainan, kios penjaja, dek melihat sudut pandang selatan, tandas awam dan parkir kereta terbuka.