
“Fitnah. Orang lain merisik, orang lain pula yang difitnah. Perang saraf level (peringkat) amatur. No class (tiada kelas),” kata Ahmad Ikhwan Fadhli dalam ciapan di aplikasi X.
Beliau turut menaikkan tangkap layar mesej di aplikasi WhatsApp mendakwa Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berunding dengan Anwar Ibrahim di PMO untuk mendapat jawatan.
Ahad lalu, FMT memetik sumber melaporkan sorang pemimpin utama Bersatu baru-baru ini sering kelihatan di PMO dipercayai melakukan rundingan demi “survival” beberapa pemimpin tertentu sehingga pilihan raya parti.
Sumber yang enggan dinamakan mendakwa pemimpin Bersatu berkenaan berjanji akan memberikan lebih banyak sokongan Ahli Parlimen Bersatu kepada kerajaan. Kata sumber itu lagi, “lebih ramai” wakil rakyat Bersatu dijangka isytihar sokongan kepada Anwar.
Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu telah berbuat demikian dengan kekal menjadi ahli parti. Langkah mereka menjadikan Bersatu merancang meminda perlembagaan parti bagi mengelak tindakan sama berulang.
Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Bersatu dijangka mengadakan pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan bahagian pada tahun ini selepas menunda selama 18 bulan pada Mei 2023.
Sebelum ini, Hamzah yang juga setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) disebut-sebut antara calon utama mengisi kerusi nombor satu parti jika Muhyiddin Yassin memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan akan datang.
Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu, November lalu, bekas perdana menteri itu mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden parti, tetapi kurang 24 jam, mengubah pendirian selepas diyakinkan isterinya Noorainee Abdul Rahman, untuk “tidak mengecewakan ahli memerlukannya.”