Apa sumbangan Najib selaku Orang Besar Berempat Pahang?

Apa sumbangan Najib selaku Orang Besar Berempat Pahang?

Sebagai Orang Besar Negeri, beliau boleh bantu institusi Raja Pahang tegur Menteri Besar dalam isu bauksit, kata Tengku Zulpuri.

Tengku-Zulpuri_najib_bauksit_pahang_600

PETALING JAYA:
Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mempersoalkan peranan Datuk Seri Najib Razak selaku Orang Besar Berempat Pahang dalam menangani masalah perlombongan bauksit tidak terkawal di negeri itu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu berkata, Perdana Menteri atas kapasiti Orang Kaya Indera Shahbandar sepatutnya lebih melibatkan diri menyelesaikan masalah negeri kelahirannya.

“Setakat ini dalam isu penting seperti bauksit dan balak, saya tidak nampak beliau memainkan peranan yang serius. Kalau ada pun ketika tragedi tanah runtuh di Cameron Highlands pada 2014.

“Sebagai seorang Orang Besar Berempat, beliau sepatutnya boleh beri pendapat pada Sultan untuk berbincang dengan Menteri Besar,” katanya yang berasal daripada keturunan Orang Besar Berlapan Pahang.

Katanya lagi, peranan itu boleh dipikul dengan lebih berkesan untuk menasihat Sultan supaya menegur Kerajaan Pahang berikutan kedudukan Najib selaku Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pekan.

Najib mewarisi gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar, salah seorang Orang Besar Berempat Pahang yang berperanan sebagai penasihat Sultan Pahang, daripada bapanya Tun Abdul Razak Hussein dan datuknya, Datuk Hussein Awang Muhammad Taib.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan semalam memutuskan untuk menghentikan sementara semua aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan selama tiga bulan bermula 15 Januari ini.

Namun ia mengundang kritikan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam akaun Instagramnya yang menyifatkan langkah itu tidak memadai.

Tags:

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.