Arahan itu dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selepas membaca laporan akhbar The Star hari ini.
“Saya ambil perhatian akan laporan akhbar The Star hari ini berkenaan keadaan Unit Rawatan Rapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Noor Hisham Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan), sila ambil tindakan segera menyiasat perkara ini dan mempercepatkan kerja pembaikan serta menyediakan langkah sementara bagi menangani isu ini secepat mungkin,” kata Perdana Menteri menerusi Facebook.
Sebelum ini, penghawa dingin ICU di HTAA dilapor tidak berfungsi, tingkap dibiarkan terbuka bagi membolehkan udara masuk dan ‘kipas berdiri’ digunakan untuk menyejukkan pesakit dan peralatan penting.
Keadaan itu telah mengundang kekecewaan dalam kalangan kakitangan di hospital itu yang terpaksa bekerja dalam keadaan panas dan tidak selesa.
