Dalam satu kenyataan yang diterima FMT, 1MDB berkata perolehan itu digunakan dengan betul, antara lain untuk membiayai sebahagian kos pemindahan Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL); pendanaan awalan fi dan perbelanjaan program Sukuk, pendanaan akaun rizab tuntuan pembiayaan (requisite financing reserve accounts); dan keperluan modal kerja (working capital requirements) TRX City Sdn Bhd.
“1MDB menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan mengesahkan bahawa perolehan daripada BMSB sebenarnya telah digunakan sejajar dengan terma perjanjian program Sukuk,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan 1MDB ini merujuk kepada dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang mempersoalkan ke mana perginya RM1.6 bilion daripada Sukuk itu yang sepatutnya digunakan untuk membiaya pemindahan dan naiktaraf lapan pangkalan tentera udara.
Menjawab dakwaan lain, 1MDB turut menafikan syarikat asing terlibat dalam projek pemindahan PUKL.
“Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia (PPHM) masih kontraktor turn key untuk menyiapkan aspek pembinaan pemindahan PUKL,” menurut kenyataan itu, dan menambah lebih 50 kontraktor Bumiputera bertauliah dilantik oleh PPHM untuk turut terlibat dalam projek itu.
Menurut 1MDB lagi, kesemua 50 kontraktor itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa manakala pembinaan dilakukan di bawah pengawasan pegawai daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Menteri Dalam Negeri.
“Maka, persoalan impak keatas keselamatan negara melalui penjualan 60% kepentingan 1MDB dalam projek Bandar Malaysia tidak berbangkit.”
