SPRM peroleh perintah larangan transaksi USD1.7 juta berkait dana 1MDB

SPRM peroleh perintah larangan transaksi USD1.7 juta berkait dana 1MDB

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bahawa dana tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya akan terus menggunakan semua saluran undang-undang bagi memastikan aset negara yang diseleweng dan disembunyikan di luar negara dapat dikesan, dibekukan, dan akhirnya dilucut hak mengikut undang-undang.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah larangan transaksi melibatkan kira-kira USD1.7 juta (RM6.7 juta) yang disimpan dalam dua akaun bank di Barbados, yang dipercayai berkait dengan dana diseleweng daripada 1MDB.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas Hakim Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, selepas kaitan dana tersebut dengan aktiviti pengubahan wang haram berjaya dibuktikan.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata siasatannya mendapati bahawa antara 2014 hingga 2019, beberapa individu—yang dipercayai pemegang akaun bank dan pengarah syarikat ditubuhkan di luar negara—disyaki terlibat dalam aktiviti menerima, menyembunyikan, memindahkan dan menukar hasil daripada aktiviti haram melalui akaun syarikat di Barbados.

Susulan itu, mahkamah telah membenarkan perintah larangan transaksi kewangan berjumlah USD56,285.88 dalam akaun milik Lambasa Global Opportunity Fund BV dan USD1,649,118.40 dalam akaun milik Universal Ventures Fund SCC, yang kedua-duanya disimpan di Amicorp Bank and Trust Limited.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata tindakan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi itu untuk mengesan dan mendapatkan semula dana yang telah diseleweng.

“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan akibat konflik di Timur Tengah, usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan tetapi satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara,” katanya.

“Setiap ringgit yang berjaya dipulihkan adalah milik rakyat Malaysia dan akan terus diperjuangkan.”

Azam menambah SPRM akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menggunakan semua saluran undang-undang bagi memastikan aset negara yang diseleweng dan disembunyikan di luar negara dapat dikesan, dibekukan, dan akhirnya dilucut hak mengikut undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.