
Penganalisis politik itu dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM tanpa bercakap dengan pengamal media.
Agensi antirasuah itu sebelum ini mengeluarkan notis pencarian awam terhadap Chai dan menawarkan untuk menanggung kos perjalanannya dari United Kingdom, di mana beliau kini menetap.
Sumber kemudiannya mengesahkan Chai disoal sebagai saksi dalam siasatan berhubung dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan pembuat cip Arm Holdings yang ditandatangani pada Mac tahun lepas.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hafaz Nazar berkata, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.
Beliau berkata, Chai akan kembali untuk menyambung sesi soal siasat pada 10 pagi esok.
SPRM memberikan beberapa lanjutan masa kepada Chai untuk pulang dan membantu siasatan, memberi amaran sekiranya beliau gagal berbuat demikian, agensi itu akan memohon kerjasama antarabangsa, termasuk melalui Interpol atau agensi penguatkuasaan asing, bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.
Pada 6 Mac, Chai berkata, beliau melantik dua peguam untuk berhubung dengan pegawai SPRM bagi mengatur sesi rakaman percakapannya.
Ini susulan gesaan SPRM supaya beliau segera menghubungi pegawai penyiasat dan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan yang sedang berjalan.
Suruhanjaya itu berkata, Chai gagal memberi respons terhadap beberapa cubaan pegawai untuk menghubunginya, mahupun hadir ke ibu pejabatnya di Putrajaya.
Chai bagaimanapun berkata, beliau hanya menyedari SPRM mahukan kerjasamanya selepas notis awam dikeluarkan untuk mengesan keberadaannya.
Tambahnya, beliau bersedia memberikan kerjasama penuh kepada agensi itu ‘secara sah dan profesional’.
Dalam pada itu, beliau mengkritik notis pencarian tersebut, yang menyertakan alamat rumah beliau membesar, menyifatkannya sebagai keterlaluan dan seolah-olah menggambarkan dirinya sebagai pelarian.