Demikian mesej bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz dalam satu muatnaik terbaru status Facebook beliau.
“Jangan kita terlalu sibuk dengan politik berkelompok-kelompok sehingga orang-orang Melayu dan Bumiputera hilang kepercayaan kapada Parti.
“Jangan lupa… sambil kita bermati-matian menjatuhkan sesama sendiri..dan menilai antara satu dengan lain ..rakyat pula menilai kita …. iaitu mereka sebagai pengundi-pengundi yang akan menentukan kerajaan,” tulisnya.
Kekesalan itu disampaikan ekoran kecelaruan dan persengketaan yang sedang memecah-belahkan parti politik yang bagaimanapun tidak dinamakan.
Rafidah juga menyarankan agar pemimpin parti mementingkan kemahuan rakyat dan apa yang mereka perkatakan kerana pilihan mereka jauh lebih penting daripada penilaian sesama pemimpin itu.
“Janganlah mencontengkan arang di hidung sesama kita.. Memadailah sudah terdapat muka-muka antara kita sudah terconteng arang.
“Bermuafakatlah… berbincang… dan selesaikan masalah-masalah dengan ikhlas dan baik,” ujar beliau.
Mesej yang diutarakan oleh Rafidah tepat pada masanya iaitu ketika kemuncak kontroversi politik di dalam kerajaan negeri Kedah apabila beberapa pemimpin UMNO Bahagian negeri itu mendesak Datuk Seri Mukhriz Mahathir disingkirkan daripada jawatan Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar.
