Beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, yang meminta polis menyiasat sama ada terdapat unsur-unsur salah guna kuasa, cuai jenayah, memutarbelit fakta dan mengganggu penjawat awam daripada menjalankan tugas-tugas mahupun siasatan mereka secara telus, bebas serta komprehensif.
Dalam laporan itu, Khairuddin berkata, Peguam Negara harus memberi penerangan secara komprehensif kepada rakyat khususnya di dalam menzahirkan semua asas butiran siasatan yang telah dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tan Sri Apandi Ali selaku Peguam Negara tidak boleh membuat kenyataan secara umum tanpa menghuraikan secara terperinci mengenai hasil siasatan laporan SPRM yang telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
“Jawapan yang komprehensif daripada Peguam Negara amat penting demi untuk menjaminkan keutuhan imej serta kredibiliti Jabatan Peguam Negara pada pandangan rakyat secara menyeluruh khususnya di mana kita sedang menghadapi krisis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan masa kini,” tulisnya.
Mengulas perkara itu Facebook, Khairuddin menasihatkan agar Peguam Negara tidak mengambil ringan di dalam pengumuman isu kes siasatan wang ‘derma’ RM2.6 billion dan sejumlah wang RM42 juta SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Sama ada suka atau tidak kita harus tangani dan selesaikan kemelut ini secara professional dan meyakinkan semua pihak di tanah air yang tercinta ini,” katanya.
