
Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, jawatan Pengurusan dan Lembaga Pengarah TH wajib diserahkan kepada mereka yang layak dan bukan sebagai habuan politik.
“Senarai pengurusan TH perlu diluluskan terlebih dahulu oleh Bank Negara sepertimana senarai pengurusan bank komersil di negara ini.
“Ini bertujuan untuk menjamin hanya yang layak diberi jawatan di institusi kewangan yang menyimpan hampir RM54 bilion aset umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, demi menjamin wujudnya ketelusan dan amalan semak dan imbang, AMANAH mengesyorkan agar pihak Ketua Pembangkang diberi peluang untuk menamakan calon Lembaga Pengarah TH dengan syarat calon yang dinamakan layak dan diluluskan oleh Bank Negara.
Salahuddin menambah, satu audit menyeluruh terhadap kegiatan dan pelaburan TH serta kesemua anak syarikatnya perlu segera dilakukan oleh Ketua Audit Negara dan juga firma juruaudit bebas bertaraf antarabangsa.
Katanya, segala yang tidak mematuhi piawaian profesionalisme dan amalan pengurusan yang baik perlu ditamatkan dan ia termasuk menutup syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan dan sebaliknya hanya menjadi tempat berteduh ahli dan penyokong politik sekiranya ada.
Ujarnya lagi, sistem tangga gaji dan elaun sama ada untuk Ahli Lembaga Pengarah atau Pengurusan TH perlu disemak kembali dan mana-mana yang didapati melampau dan tidak seimbang dengan tugas dan tanggungjawab yang dimainkan, perlu diubah.
Selain itu katanya, sebagai langkah pengurusan risiko tambahan, TH diminta menjalankan satu ujian `stress test’ untuk institusi kewangan mengikut panduan di bawah kelolaan BNM.
Jelasnya, hasil ujian tersebut perlu diterbitkan kepada umum untuk memberikan gambaran tahap keutuhan kewangan TH dan mengembalikan keyakinan penyimpan dan seluruh rakyat jelata.