Kerajaan Selangor dipersalah projek Putrajaya tergendala

Kerajaan Selangor dipersalah projek Putrajaya tergendala

Kerajaan negeri sepatutnya lebih bertolak ansur dengan Kerajaan Pusat tanpa meletakkan harga premium lebih tinggi daripada perbelanjaan membina balai bomba itu.

noh-omar

SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor didakwa enggan memberikan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan beberapa projek pembangunan untuk rakyat yang sehingga hari ini masih tergendala.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa, antara projek tersebut ialah pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam yang mana kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi tujuan berkenaan.

Katanya, balai bomba itu yang sepatutnya siap tahun lepas bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan malah kerajaan negeri mengenakan pula bayaran premium kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM4 juta.

“Kalau macam ini cara kerajaan negeri, rakyat akan rugi sebab mereka lebih pentingkan tabung mereka tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

“Sepatutnya mereka akan lebih bertolak-ansur dengan kita mengenai harga tanah premium, bukan letak harga lebih mahal daripada harga balai bomba itu sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noh mendakwa, projek pasar tani kekal yang diselia oleh FAMA dan seoatutnya dibuat di Puchong juga tidak dapat dilaksanakan sehingga hari ini.

“Sekarang ni, banyak negeri yang dah jalankan projek pasar tani kekal, yang dekat Selangor sahaja yang masih tak berjalan, sebab kerajaan negeri asyik ‘ding dong’ dengan Kerajaan Pusat, habis bila projek nak berjalan?” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang mengumumkan peruntukan pembangunan kerajaan pusat kepada kerajaan pimpinan pembangkang di Selangor diberikan sebanyak RM 795.78 juta.

Katanya, dengan pengumuman tersebut ia sekaligus menafikan dakwaan kononnya kerajaan pusat bankrup dan tidak mampu untuk membantu rakyat.

“Kalau ada dakwaan yang mengatakan kerajaan persekutuan bankrup tidak ada duit itu tidak benar.

“Saya juga berharap kerajaan negeri mengunakan peruntukan ini untuk rakyat dan bukannya untuk membayar pengurusan serta gaji kakitangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.