PDRM cadang heret pemandu tanpa lesen ke mahkamah

PDRM cadang heret pemandu tanpa lesen ke mahkamah

Ia disebabkan terlalu banyak kemalangan maut dan cedera parah ekoran ramai pemandu yang tidak mempunyai lesen

khalid-lesen-memandu

KUALA LUMPUR:
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mahu mencadangkan agar pemandu tanpa lesen dibawa ke mahkamah dengan tidak lagi dikenakan kompaun.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan serius itu penting untuk dilakukan sebagai langkah menurunkan statistik kemalangan maut yang meningkat sepanjang tahun.

“Kita akan mencadangkan bahawa menggunakan kenderaan tanpa lesen, kita tak nak kompaun lagi. Kita akan tuduh di mahkamah kerana punca-punca banyak kemalangan maut dan cedera parah disebabkan pemandu tanpa lesen.

“Dia tidak tahu undang-undang, tidak tahu gunakan kenderaan dengan betul tetapi dibenarkan guna kenderaan itu. Jadi kita kena serius,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bukit Aman hari ini.

Selain itu, Khalid juga berkata, tindakan keras akan diambil terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu tanpa lesen menggunakan kenderaan mereka.

“Tuan punya kenderaan juga akan diambil tindakan keras. Ibu bapa juga boleh dikenakan kompaun,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan akan meneruskan cadangan menaikkan kadar kompaun maksimum.

“Tetap diteruskan dan kita sedang atur sekarang, berapa jumlah kita rasa munasabah,” katanya.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhd Fuad Abu Zarim berkata, pihaknya kini sedang meneliti proses bagi tujuan itu termasuk pindaan daripada sudut perundangan sebelum ia dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Tanpa menyebut jumlah kenaikan kadar kompaun berkenaan, beliau berkata, sudah tentu ia akan melalui proses perundangan kerana sebelum ini kadar bayaran maksimum RM300 yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada Seksyen 120, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.