Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid menegaskan, tindakan menjatuhkan Perdana Menteri melalui cara itu jelas bertentangan dengan etika politik Islam.
Beliau berkata, tindakan mengguling Perdana Menteri tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya, perkara sama akan berlaku sekiranya ketua kerajaan bertukar.
“Saya sebagai seorang ahli akademik tak setuju. Dari segi etika politik Islam pun tak boleh untuk menjatuhkan pemerintah dengan cara itu.
“Bila pemerintah itu naik dengan cara (pilihan raya), turun pun biar dengan cara itu (pilihan raya). Jangan sampai ada yang turun tak bertangga sebab itu akan membawa keburukan ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Muzakarah Pakar Ulama dan Alam Sekitar di IKIM di sini hari ini.
Sementara itu, Zuhdi, yang juga pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersetuju dengan kebijaksanaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti Islam itu tidak mahu bermusuhan dengan mana-mana ahli UMNO, serta kesediaan partinya bekerjasama dengan parti Melayu itu dalam hal melibatkan kepentingan Islam.
“Jadi kena sokong Haji Hadi sikit la (merujuk kepada kesediaan PAS menjadi penasihat kepada UMNO), saya rasa kenyataan Hadi itu kenyataan yang bijak dan yang kita tunggu selama ini kerana kesediaan beliau untuk bersama dengan UMNO walaupun UMNO musuh ketat PAS sejak berzaman.
“Sekarang penting bagi PAS dan UMNO duduk semeja bincang soal menyelamatkan bangsa. Kerjasama bukan maksudnya bergabung, sebaliknya kerjasama untuk perpaduan ummah,” katanya.
