ATM miliki peluru berpandu Starstreak

ATM miliki peluru berpandu Starstreak

Sistem peluru berpandu jarak jauh Starstreak ini menggantikan sistem pertahanan udara teknologi lama

Starstreak

KUANTAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini memiliki sistem peluru berpandu jarak dekat (VSHORAD) tercanggih, Starstreak bagi menggantikan sistem pertahanan udara teknologi lama dikenali sebagai Starburst.

Ketua Tim Projek Starstreak, Kolonel Zainal Mohd Noor berkata, latihan penggunaan sistem peluru berpandu dari bumi ke udara itu kini giat dilakukan di Skuadron 401, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini.

Beliau berkata, seramai 14 anggota ATM melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, udara dan laut terlibat dalam latihan tersebut.

“Sebelum ini iaitu pada bulan Oktober tahun lalu, kita menghantar 12 anggota ke United Kingdom (UK) untuk belajar penggunaan sistem tersebut.

“Latihan selama enam minggu di UK cukup bermakna kepada 12 anggota ATM terlibat yang kini menjadi jurulatih penggunaan sistem peluru berpandu tercanggih itu,” katanya lapor Utusan Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, Starstreak berbeza dengan Starburst dan sememangnya memerlukan latihan yang kerap untuk mahir menggunakan sistem baharu itu.

Katanya, ATM kini memiliki sistem interim peluru berpandu berkenaan yang dipinjamkan oleh syarikat pembekal, UK Thales Air Defence Ltd.

“ATM akan memperoleh Starstreak Next Generation (NG) iaitu versi terbaharu, kita jangka pada 2018 kita akan memiliki sepenuhnya sistem berkenaan.

“Negara lain sudah pun menggunakan sistem Starstreak ini dan kita mahu yang terbaharu supaya kita tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat pembekal Starstreak menghasilkan VSHORAD generasi terkini yang mencecah kelajuan sehingga Mach 3 iaitu lebih laju daripada sebuah jet pejuang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.