Pemuda UMNO Selangor akui tiada wang

Pemuda UMNO Selangor akui tiada wang

Pemuda UMNO berdepan masalah untuk menganjurkan program untuk golongan muda kerana untuk mengekalkan sokongan golongan itu kepada parti tidak boleh dilakukan secara percuma

Zainuri-Zakaria_umno_selangor_600

PETALING JAYA:
Pemuda UMNO Selangor mendedahkan pergerakan itu tidak mempunyai wang kerana tidak mendapat peruntukan daripada parti bagi menjalankan program khasnya untuk golongan muda.

Malah Ketua Pemudanya, Zainuri Zakaria mengaku beliau dan ahli Pemuda lain terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk memastikan program dapat dijalankan.

Katanya, disebabkan masalah itu, Pemuda UMNO Selangor menghadapi sedikit masalah untuk membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam merampas kembali negeri itu dari tangan Pakatan Harapan (PH).

“Nak suruh kita bekerja, tapi minyak tidak berisi, bagaimana nak gerak? Ini masalah Pemuda Selangor hadapi. Orang tak tahu, sampai ada yang berhutang. Kita tidak ada peruntukan seperti ketua bahagian tapi kita sanggup keluarkan duit poket sendiri buat program.

“Himpunan merah itu, kita keluarkan baju, dapat (duit) dari mana? Ketua Pemuda keluar duit sendiri, beri kepada Pemuda yang semangat nak pergi. Ada orang tanya tak, Pemuda Selangor dapat peruntukan dari mana?

“Kita memang nak membantu. Asas penubuhan Pemuda pun untuk membantu cawangan dan bahagian tapi dalam masa sama, yang atas (UMNO pusat) pun kenalah bantu yang di bawah. Tidaklah boleh harapkan Pemuda sahaja. Kita (Pemuda) tiada peruntukan. Jadi, mereka kena bantu kitalah,” katanya, lapor akhbar Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, Zainuri berkata untuk mengekalkan sokongan orang muda untuk UMNO bukan boleh dilakukan secara percuma.

“Trend sekarang ini, kalau kita guna air liur, air liurlah kita dapat. Kalau kita lihat pihak belah sana, sanggup berbelanja lebih untuk terus kepada kumpulan sasaran. Sasarannya untuk mendapatkan pengundi.

“Kita bantu daftar pengundi tapi kita tidak tahu mereka undi siapa, jadi kita kena bawa jenama kita. Jenama kita (pula) orang sedang tidak sedap (suka). Jadi kenalah jenamakan semula, cantikkan balik supaya pengundi yang baharu ini tahu bahawa yang bawa mereka daftar untuk mengundi buat kali pertama adalah dari BN,” katanya.

Pemuda UMNO Selangor turut berjanji akan mencuba sedaya upaya untuk memenangkan BN pada PRU akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.