
Dakwanya, hanya pemimpin MIC ingin keluar daripada BN dan perkara itu tidak adil kepada ahli yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Justeru, beliau mencadangkan MIC membuat pengundian supaya ahli boleh memilih sama ada mahu keluar atau kekal dalam BN.
“Rata-rata kita pergi di akar umbi, ahli-ahli MIC tak nak keluar (BN)…yang nak keluar pemimpin sahaja. Kita cadang MIC buat macam referendum atau pengundian untuk suruh ahli buat keputusan (sama ada) nak keluar atau tidak.
“Bukan keputusan pucuk pimpinan sahaja. Baru demokrasi,” katanya kepada FMT.
Ahad lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi memberi peringatan kepada parti komponen yang berhasrat meninggalkan gabungan supaya membuat pertimbangan mendalam kerana mereka mungkin tidak diterima semula pada masa depan.
Walaupun Zahid tidak menyatakan parti komponen BN yang dimaksudkan, kenyataan dibuat di tengah spekulasi MIC dan MCA mungkin meninggalkan gabungan itu.
Umno, MCA dan MIC adalah anggota pengasas Parti Perikatan sebelum merdeka, yang secara rasmi menjadi BN pada 1974.
MIC berada di persimpangan sama ada mahu meninggalkan BN, malah sudah menghantar pertanyaan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan menyertai gabungan pembangkang itu.
Sementara itu, Sharkar berkata beliau menghormati pandangan pemimpin MIC yang ingin meninggalkan BN.
Namun, menegaskan Zahid hanya menjalankan tugas sebagai pengerusi BN dan tidak pernah menyuruh MIC meninggalkan gabungan.
“Kita memang sedih (jika) MIC keluar daripada BN sebab MIC merupakan parti teras yang sama-sama menuntut kemerdekaan. Kita ada sejarah panjang dengan MIC.
“Namun, tindakan membelakangkan kita (Umno) menunjukkan mereka tak hormati pucuk pimpinan (BN),” katanya.