
Hajiji, pengerusi GRS berkata pendirian awal GRS adalah untuk memberi laluan kepada parti yang menang di kerusi berkenaan merujuk kepada Umno-Barisan Nasional (BN), yang kini sebahagian kerajaan Sabah diterajuinya.
“Saya ingat kita akan bincang dalam GRS, tetapi saya ingin nyatakan kemungkinan besar kita tidak akan bertanding.
“Kita akan bagi penghormatan kepada parti yang menang. Kebetulan mereka dalam kerajaan negeri sekarang,” katanya menurut Sinar Harian selepas hadir persidangan DUN Sabah, di Kota Kinabalu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perbincangan daripada pihak GRS sama ada akan mengemukakan calon di dua kerusi yang ketika ini kosong, susulan kematian penyandang, Bung Moktar Radin.
Bung Moktar yang juga bekas ketua Umno negeri dan pengerusi BN Sabah meninggal dunia pada 5 Dis lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru, selepas enam hari kemenangannya di DUN Lamag pada PRN17.
Hajiji ketika mengulas lanjut, berkata GRS bersedia membantu bagi memastikan kemenangan parti penyandang pada PRK itu, termasuk mengadakan perbincangan lanjut bersama pimpinan tertinggi Umno-BN Sabah.
“Kita akan bantu mereka untuk memenangi PRK itu. Saya akan berbincang dengan presiden Umno dan Pengerusi BN (Zahid Hamidi).
“Itu yang kita mahu bincang (untuk dua kerusi), tetapi prinsipnya kita akan bagi laluan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari mengundi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag akan berjalan serentak pada 24 Jan ini.