Umno tiada ‘hubungan langsung’ dengan DAP, kata Zahid

Umno tiada ‘hubungan langsung’ dengan DAP, kata Zahid

Presiden Umno berkata hubungan terjalin dalam kerajaan perpaduan hanya antara BN dan PH.

zahid hamidi
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata asas utama kerjasama dalam kerajaan perpaduan bukan daripada parti ke parti tetapi dari segi gabungan ke gabungan. (Gambar Bernama)
GOMBAK:
Zahid Hamidi menegaskan Umno tiada ‘hubungan langsung’ dengan DAP, susulan desakan MCA supaya parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak meneruskan kerjasama dengan DAP pada PRU16.

Presiden Umno berkata, sebaliknya kerjasama terjalin dalam kerajaan perpaduan adalah antara BN dengan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana MCA merupakan parti komponen BN dan DAP adalah parti komponen PH, maka kita harus meletakkan asas utama bahawa kerjasama ini bukan daripada parti ke parti tetapi dari segi gabungan ke gabungan.

“Perkara ini boleh diselesaikan dan kesefahaman dapat dicapai,” katanya ditemui selepas lawatan rasmi di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute.

Zahid yang juga pengerusi BN berkata, perkara utama ketika ini ialah rasionaliti politik bila PRU akan diumumkan.

Beliau juga berkata, isu itu akan diserahkan kepada kepimpinan utama BN dan PH untuk menanganinya.

Pada 7 Dis lalu, Perhimpunan Agung MCA meluluskan resolusi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada PRU16.

Perwakilan turut bersetuju parti itu menentukan haluan sendiri jika mana-mana komponen BN berkeras mahu bekerjasama dengan DAP pada PRU16, dengan alasan semangat gabungan sudah mati.

Julai lalu, Zahid menyatakan gabungan itu merancang meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU16 walaupun timbul desakan BN bergerak solo.

BN diterajui Umno memainkan peranan penting membolehkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan susulan keadaan Parlimen tergantung selepas PRU 2022.

Rakan komponen, MIC, juga kini berada di persimpangan, sama ada mahu meninggalkan BN atau tidak, malah pernah menghantar pertanyaan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai gabungan pembangkan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.