
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, langkah itu bagi mengelakkan persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan kelangsungan pemain sebenar dalam industri berkenaan.
“Ini (saringan) mesti dilakukan. Jika tidak, kita akan terus bersaing sesama sendiri. Persaingan ini ada yang sihat, tetapi banyak yang tidak sihat,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-46 di sini, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan dan Presiden PKMM, Rosdi Ab Aziz.
Zahid berkata, kepercayaan terhadap kementerian dan sistem sedia ada juga penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Beliau turut menyentuh isu kelewatan projek dan menegaskan tidak adil menyalahkan kontraktor sepenuhnya, khususnya apabila pembayaran tidak dapat dibuat.
“Mungkin ada kira-kira 5% hingga 7% kesalahan kontraktor…tetapi mana mungkin kontraktor mahu meneruskan kerja jika peruntukan yang ada tidak dibayar.”
Sementara itu, Rosdi berkata, saringan itu diyakini mampu mengesan sebahagian besar pihak terbabit kartel yang menjejaskan sektor pembinaan.