Kontraktor punca 75% projek KKR lewat siap

Kontraktor punca 75% projek KKR lewat siap

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata kelemahan pengurusan projek dan perancangan kewangan tidak teratur penyumbang utama kelewatan itu.

Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata selepas kontrak ditamatkan, kontraktor akan disenaraihitamkan selama dua tahun dan boleh dikenakan ganti rugi lewat siap. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, berkata 75% kelewatan projek di bawah kementerian itu berpunca daripada kontraktor dan baki membabitkan isu pengambilan tanah dan utiliti.

Menurutnya, kelemahan pengurusan projek dan perancangan kewangan tidak teratur faktor utama menyumbang kepada kelewatan itu.

“Kita tiada banyak projek sakit, hanya sekitar 5% daripada keseluruhan projek dilaksanakan. Namun, 5% itu pun kita tidak mahu jika boleh dihindari,” katanya menurut Berita Harian selepas menyampaikan surat setuju terima dua projek persekutuan di Johor sempena Hari Profesional Teknikal Kebangsaan 2025 di Johor Bahru.

Beliau berkata, ramai kontraktor silap menguruskan kewangan, termasuk menganggap bayaran pendahuluan pertama sebagai keuntungan.

“Kaedah sebenarnya ialah keuntungan hanya boleh dinilai selepas projek disiapkan. Saya berharap dua isu ini, pengurusan projek dan kewangan dapat diatasi kontraktor yang menerima projek daripada Kementerian kerja Raya.”

Tegasnya, pengurusan projek termasuk penyediaan bahan binaan pada harga berpatutan dan mencukupi, serta memastikan sumber manusia memadai dan mematuhi tempoh siap kerja.

Katanya, KKR akan memberi amaran berulang sebelum mempertimbangkan tindakan menamatkan kontrak.

“Kita hantar surat amaran sekali, dua kali dan boleh jadi sehingga tiga kali. Pegawai juga menasihati kontraktor dalam mesyuarat tapak mingguan dan bulanan. Namun, jika kontraktor masih gagal mematuhi jadual, kontrak akan ditamatkan.”

Ahmad berkata, selepas kontrak ditamatkan, kontraktor akan disenaraihitamkan daripada mendapat projek kerajaan selama dua tahun dan boleh dikenakan ganti rugi lewat siap, termasuk menanggung perbezaan kos jika tender baharu perlu dikeluarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.