SUV jatuh gaung: Bukan KKR alih penghadang

SUV jatuh gaung: Bukan KKR alih penghadang

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab mengalihkan penghadang itu.

Polis dilaporkan berkata tanda amaran dan penghadang konkrit diletakkan pihak berkuasa di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) dipercayai dialihkan pihak tidak bertanggungjawab. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi menafikan pihaknya mengalihkan penghadang konkrit di lokasi kemalangan maut di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Kuala Berang.

Tegasnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa mematuhi semua langkah berjaga-jaga dan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan berlaku kerosakan.

“Jadi, kalau didakwa (penghadang) dialihkan, itu pentinglah kita nak tahu siapa alihkan. Memang KKR tak alihkan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan KKR di sini.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab mengalihkan penghadang sehingga mengakibatkan kemalangan maut.

“Kalah sesiapa tahu, mohon beritahu kita.”

Jumaat lalu, guru di Sekolah Kebangsaan Lebir, Hassan Shazali, 52, dan pekerja kantin sekolah, Suzaimah Che Azis, 34, maut selepas kenderaan mereka terbabas ke gaung di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) kira-kira 5.30 petang.

Pasangan bakal pengantin itu dalam perjalanan ke Gua Musang di Kelantan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut polis, tanda amaran dan penghadang konkrit diletakkan pihak berkuasa dipercayai dialihkan pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam perkembangan lain, Nanta berkata, pihaknya akan menyiasat kerosakan jalan di laluan Kuala Selangor-Kepong yang didakwa penduduk Aman Putri tidak selesai sejak 2023.

Penduduk mendakwa masalah itu berpunca daripada kegagalan pemantauan sistem tender dan deposit daripada pemaju menyebabkan kontraktor ‘cap ayam’ dilantik.

“Sesiapa pun boleh mendakwa, tapi kita kena siasat dulu,” kata Nanta.

“Kita pilih kontraktor mengikut protokol. Tapi, kadangkala kontraktor yang dipilih tidak berprestasi dengan terbaik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.