Kos hidup tinggi kerana dasar kerajaan menekan – Fahmi Zainol

Kos hidup tinggi kerana dasar kerajaan menekan – Fahmi Zainol

Belia tidak dapat melanjutkan pengajian kerana dasar yang kurang mesra untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

fahmi-zainol

KUALA LUMPUR:
Aktivis pelajar, Fahmi Zainol membidas Perdana Menteri, Datuk Najib Razak dengan menegaskan kelayakan akademik rakyat adalah tinggi, tetapi bergelut akibat kos sara hidup tinggi.

Fahmi yang juga pengerusi biro pelajar Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, ramai pelajar mahir tidak dapat kerja yang setara dengan kelayakannya.

“Kenyataan Perdana Menteri menyebabkan belia kurang senang, terutama pelajar. Kira-kira 107,000 graduan masih tidak bekerja dan 21% daripadanya kerja di bawah kelayakan,” katanya.

Fahmi mendakwa dasar kerajaan menyebabkan peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi terjejas dengan ‘memperniagakan pendidikan’ dan memotong bajet pendidikan.

“Kerajaan sendiri yang memotong bajet untuk belia memperoleh pendidikan tinggi. Kerajaan memotong bajet dua tahun berturut-turut dengan jumlah RM2.4 bilion tahun ini.

“Kerajaan juga mengurangkan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 15-25% tahun ini. Kerajaan juga memotong biasiswa dan bantuan pendidikan sebanyak RM812 juta pada tahun ini.

“Pinjaman pendidikan MARA masih tidak dibuka untuk sesi 2015/2016. Ini bermakna pelajar tidak menerima bantuan MARA hampir dua tahun,” katanya.

Fahmi berkata, punca utama kos sara hidup tinggi dalam kalangan pelajar bukan kerana kurang kelayakan atau kemahiran, tetapi dasar kerajaan menekan golongan muda, seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan peluang pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan.

Semalam, Perdana Menteri dilapor berkata, salah satu punca utama tekanan dari kos sara hidup ialah kelulusan pendidikan yang masih di peringkat rendah oleh sebahagian besar rakyat Malaysia ketika ini.

Ia menyebabkan golongan tersebut sukar mendapat pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang berpatutan untuk menampung kos kehidupan semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.