
Ahli akademik, P Gopala Krishnan, berkata kurikulum baharu itu direka untuk menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman berbanding nilai terasing dalam modul kelas tertentu.

“Sebagai contoh, rasa hormat dipupuk melalui interaksi dalam bilik darjah, tanggungjawab menerusi rutin harian seperti membersih selepas makan dan toleransi ketika membuat keputusan berkumpulan serta beratur.
“Pendekatan rentas kurikulum ini direka untuk menjadikan nilai sebagai pengalaman hidup, yang sebati dalam kehidupan sekolah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, satu lagi ciri utama reformasi ini ialah penekanan terhadap pendedahan awal dan berterusan kepada pendidikan nilai.
Sejak prasekolah, kanak-kanak akan terbabit rutin mudah tetapi bermakna – seperti berkongsi makanan – untuk menanam nilai asas, katanya sambil menambah pendekatan pembangunan ini lebih selaras dengan cara kanak-kanak belajar secara semula jadi dan menghayati tingkah laku.
Tetapi, beliau memberi amaran tanpa struktur jelas dan akauntabiliti, pendidikan nilai mungkin tidak konsisten antara sekolah.
Menurutnya, tiada masa pengajaran khusus boleh menyebabkan pelaksanaan berbeza bergantung kepada guru dan menyukarkan penilaian sama ada pelajar benar-benar belajar serta mengamalkan nilai berkenaan.

Pengamal pembangunan belia dan komuniti, Zoel Ng, turut menyambut baik perubahan ini dengan berkata pendekatan tradisional dalam pengajaran etika menganggap nilai sebagai kandungan untuk dihafal dan bukannya dihayati.
Beliau berkata, dalam dunia yang dibentuk kecerdasan buatan dan perubahan teknologi pesat, pembangunan sahsiah tidak lagi boleh kekal abstrak atau berasaskan peperiksaan.
“Sekadar tahu definisi hormat, empati atau tanggungjawab tidak mencukupi,” katanya sambil menambah pelajar perlu memahami cara menerapkan nilai kemanusiaan ketika berinteraksi dengan teknologi dan sesama manusia.
Menurutnya, pembangunan sahsiah perlu diterapkan dalam cara pelajar bekerjasama, menyelesaikan konflik dan berhubung dengan perbezaan dalam bilik darjah serta komuniti.
Beliau memberi amaran kejayaan banyak bergantung kepada budaya sekolah dan pendidik sendiri yang mencontohi nilai berkenaan.

KP2027 dijangka membawa pembaharuan besar kepada ekosistem pendidikan negara, bermula dari peringkat awal persekolahan.
Awal bulan ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Azam Ahmad dilaporkan berkata, KP2027 bertujuan mengubah kedudukan sekolah sebagai ruang memupuk nilai, disiplin intelektual dan membentuk sahsiah pelajar, bukannya sekadar tempat mengejar keputusan akademik.
Bernama memetik Azam, yang berkhidmat sebagai pendidik selama 24 tahun, berkata nilai tidak lagi akan diajar secara abstrak atau terhad kepada topik dalam buku teks.