Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata permintaan dan kegunaan air tinggi semasa cuaca panas mengakibatkan air simpanan di kolam takungan air Cheras dan Bangi mencatat penurunan di bawah paras biasa.
Katanya, keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan di Hulu Langat sedang mengalami gangguan bekalan air sementara walaupun loji rawatan air menyediakan perkhidmatan kawasan berkenaan beroperasi sepenuhnya.
“Paras kolam air sedang diawasi dengan rapi. Bekalan air kepada pengguna akan pulih berperingkat apabila paras kolam takungan air mencapai tahap stabil.
“Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air dengan berhemah sepanjang musim cuaca panas ini,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Amin Lin berkata, kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air di Hulu Langat adalah Taman Juara Jaya, Taman Bukit Belimbing, Taman Sungai Besi Indah, Taman Harmoni Indah, Taman Puncak Utama, Taman Putra Budiman dan Taman Balakong Jaya.
Kawasan lain yang terjejas ialah Taman Sri Timah, Taman Taming Jaya, Kawasan Industri Balakong, Kawasan Industri Selesa Jaya, Industri Balakong, Taman Taming Permai, Kawasan Industri Lifong, Juta Mines Kondominium, Jade Hill.
Gangguan air juga dijangka berlaku di Kampung Baru Balakong, Bangi Golf Resort, Kajang Utama, UKM, Alam Sari, Taman Tropika, Taman Universiti, GMI, Taman Tropika 2 dan Taman Vista Emas.
Fenomena El Nino dilapor menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20% hingga 60% dan kenaikan suhu sekitar 0.5 hingga 2.0 darjah Celsius berbanding hari biasa.
Suhu maksimum di negara ini ketika cuaca panas luar biasa ialah di antara 28.6 dan 35 darjah Celsius manakala semasa hari panas adalah antara 35 dan 37 darjah Celsius.
