Pengguna senaraikan harapan kawal selia Uber, Grab

Pengguna senaraikan harapan kawal selia Uber, Grab

Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam mahu pengatur berunding dengan pihak berkepentingan

grabcar

PETALING JAYA:
Ketelusan, pemprofilan pemandu dan insuran antara perkara yang Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) harap ditangani dalam langkah kawal selia perkhidmatan kereta sapu, seperti Uber dan Grab.

Sementara 4PAM mengalu-alukan kawal selia yang disifatkan terlambat itu, Presidennya, Ajit Johl bagaimanapun berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu mewujudkan lapangan persaingan yang adil dan sama rata sebelum mengawal selia perkhidmatan aplikasi perkongsian kereta.

Justeru, 4PAM menyarankan supaya syarikat-syarikat teksi yang bergantung kepada permit teksi dibubarkan, dan permit teksi diberi terus kepada pemandu.

Manakala bagi perkhidmatan kereta sapu pula, 4PAM mencadangkan pengusaha perlu menanggung liabiliti yang lebih tinggi dan memastikan keselamatan, serta menerapkan ketelusan dalam operasi syarikat dan membenarkan akses kepada orang awam.

“Pusat panggilan, pengurusan aduan dan yang sepertinya juga merupakan isu yang perlu ditangani.

“Serta proses pemilihan pemandu perlu diperketat, dan mereka perlu diuji oleh Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ),” katanya, dan menambah ujian pemprofilan juga perlu dilakukan keatas bakal pemandu.

Beliau akui bahawa saranan-saranan ini akan menyukarkan sedikit permohonan menjadi pemandu, namun ia mengurangkan risiko kepada penumpang dan pengguna jalanraya lainnya.

Ajit juga berkata 4PAM mahu kenderaan Uber dan Grab disijilkan, manakala di peringkat syarikat pula diwajibkan menyediakan perlindungan insuran kepada penumpang bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kemalangan.

4PAM menghulur tangan kepada SPAD dalam mencari jalan penyelesaian menuju ke hadapan.

“Kami tidak menyokong dan tidak akan menyokong sebarang langkah yang dibuat oleh pengatur tanpa berunding dengan pihak berkepentingan.”

Sumber memberitahu FMT bahawa beberapa perkara dalam langkah kawal selia yang bakal dicadangkan belum dapat disahkan, tetapi syariat seperti pemilikan lesen pemandu vokasional, insuran untuk penumpang, dan pemeriksaan wajib oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan telah ditetapkan.

Baru-baru ini kerajaan dilaporkan memilih untuk mengawal daripada mengharamkan Uber dan Grab

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.