Lim Lip Eng mendakwa polis langsung tidak mengambil atau merakam percakapan Shazni Munir Mohd Ithnin sepanjang beliau ditahan.
“Dalam tempoh ditahan (Shazni), tiada percakapan diambil tetapi polis memberitahu perlu lebih masa untuk rakam percakapan.
“Ini satu perkara tidak munasabah dan penyalahgunaan kuasa polis. Polis tahan dia satu hari tanpa apa-apa tindakan diambil dan minta direman dua hari lagi sampai esok,” katanya kepada FMT,
Shazni ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada jam 2.30 petang Isnin. Beliau kemudiannya direman selama dua hari bermula 11 pagi hari ini hingga jam 12 malam esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Shazni didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut orang ramai menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi dan rusuhan jalanan dalam makalah yang disiarkan www.bicara.news dan dipetik oleh blog malaysia-today.net Jumaat lalu.
Shazni bagaimanapun berkata makalah yang disiasat itu telah diputarbelit daripada makalah asal yang disiarkan dalam portal Free Malaysia Today, bertajuk “Selepas Setahun GST, Kita Makin Senang Atau Susah” yang diterbitkan Khamis lalu.
