Anwar layak mengundi walaupun dalam penjara – Peguam

Anwar layak mengundi walaupun dalam penjara – Peguam

Anwar dan banduan rakyat Malaysia masih mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia walaupun pergerakan mereka terbatas.

n-surendren.anwar

KUALA LUMPUR:
Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk mengundi dalam pilihan raya walaupun dihukum penjara lima tahun sejak Februari tahun lalu.

Peguamnya, N Surendren berkata, bukan Anwar sahaja malah semua banduan rakyat Malaysia mempunyai hak mengundi seperti diperuntukkan mengikut Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, penafian daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap hak banduan untuk mengundi akan memberi impak yang besar kepada Perlembagaan.

“Kes ini akan memberi impak kepada Perlembagaan terutamanya hak orang yang di penjara kerana perlu ingat mereka yang di penjara, hak mereka tidak hilang, mereka hanya hilang hak pergerakan. Hak-hak lain seperti hak sivil dan semua hak ‘constitutional’ masih sama,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Mahkamah Tinggi menetapkan awal Mei untuk membuat keputusan permohonan Anwar menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mendapatkan deklarasi bahawa beliau layak mengundi.

Anwar memfailkan saman itu pada 6 Mei tahun lalu selepas SPR tidak membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang diadakan 7 Mei 2015.

Dalam afidavit saman itu, Anwar berkata, beliau telah mendaftar sebagai pengundi yang sah bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh sebelum dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Persekutuan dan telah mengundi di kawasan itu pada PRU ke-13.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.