Rafizi boleh saman sesiapa saja tapi mahkamah akan tentukan

Rafizi boleh saman sesiapa saja tapi mahkamah akan tentukan

Ia selaras dengan demokrasi di negara ini yang tidak menghalang mana-mana pihak mengambil tindakan undang-undang.

johari,rafizi

KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berhak menyaman sesiapa sahaja untuk dihadap ke mahkamah berhubung skandal kewangan melibatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang memberi kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk mengambil tindakan undang-undang.

Katanya, Rafizi juga boleh mengheret mana-mana individu yang beliau tidak puas hati berhubung skandal melibatkan anak syarikat kerajaan itu, namun mahkamah yang akan menentukan keputusan.

“Negara kita Malaysia ini adalah negara yang demokrasi, siapa-siapa termasuk Rafizi yang berhasrat untuk saman, ia terbuka, sama ada dia menang atau kalah itu terpulang kepada mahkamah,” katanya ketika ditemui FMT selepas menghadiri majlis perasmian penutup forum hartanah ‘Melayu Bandar Terus Disisih?’ anjuran PERKASA hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Rafizi mahu memburu individu-individu yang bertanggungjawab terhadap 1MDB menerusi kempen #1MDBWanted, di mana jutawan, Low Taek Jho antara individu pertama akan disenarai berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurut Rafizi, senarai itu akan disiarkan, jika mereka yang melindungi individu bertanggungjawab terhadap hutang 1MDB tidak tampil dan mendedahkan maklumat yang boleh membuktikan salah laku “orang-orang atasan”.

Rafizi menamakan jutawan, Low Taek Jho; Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Casey Tang sebagai orang yang diburunya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.