Peminjam PTPTN lebih pentingkan pinjaman lain

Peminjam PTPTN lebih pentingkan pinjaman lain

Ramai peminjam gagal membayar pinjaman PTPTN, kerana mereka lebih mementingkan pinjaman lain, seperti perumahan, kad kredit dan kenderaan.

ptptn

PETALING JAYA:
Kebanyakan peminjam lebih mengutamakan pembayaran balik pinjaman lain berbanding Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menyebabkan mereka gagal membayar balik pinjaman perbadanan itu dan seterusnya disenaraihitamkan.

Sinar Harian memetik Ketua Jabatan Operasi Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mansor Ali sebagai berkata, kebanyakan peminjam lebih mementingkan pembayaran balik pinjaman lain, seperti perumahan, kad kredit dan kenderaan, menyebabkan mereka gagal membayar pinjaman PTPTN.

Jelasnya, jumlah peminjam PTPTN yang mendapatkan bantuan AKPK menunjukkan peningkatan, disebabkan nama mereka disenaraihitamkan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peminjam PTPTN menyertai Progam Pengurusan Kredit untuk menguruskan wang mereka lebih baik.

Mengikut laporan, seramai 1.25 juta peminjam PTPTN disenaraihitamkan dalam CCRIS, kerana gagal membayar balik pinjaman PTPTN.

Pengerusi PTPTN, Shamsul Anuar Nasarah berkata, peminjam tegar bukan sahaja disenaraihitamkan dalam CCRIS, malah oleh institusi perbankan lain.

Mereka yang mempunyai rekod pembayaran balik tidak memuaskan, berdepan kesukaran mendapat pinjaman dengan semua institusi perbankan, termasuk pinjaman peribadi, perumahan, kenderaan dan kad kredit.

PTPTN mula menyenaraihitamkan peminjam tegar secara berperingkat-peringkat sejak 16 Jun 2015, bagi menggalakkan mereka lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam pembayaran balik pinjaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.