Anak Raja Ular didenda RM24k

Anak Raja Ular didenda RM24k

Azman Khan Ali Khan mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengadakan pameran ular tanpa permit di kaki lima hadapan Pusat Beli-belah Lot 10, pada 30 Mei 2014.

raja-ular_600

KUALA LUMPUR:
Anak kepada Raja Ular Malaysia hari ini didenda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana membuat pameran tiga ekor ular sawa tanpa permit sah di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim, Harmi Thamrin Mohamad @ Shaharudin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Azman Khan Ali Khan selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengadakan pameran ular tanpa permit di kaki lima hadapan Pusat Beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, pada jam 10.50 malam 30 Mei 2014.

Dia didenda RM12,000 kerana mempamerkan dua ekor ular jenis sawa batik dan RM12,000 kerana mengadakan pameran seekor ular sawa burma albino dan tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh kemudiannya membayar denda itu.

Azman Khan didakwa mengikut Seksyen 66 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda maksimum RM70,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun jika sabit kesalahan.

Semasa menyampaikan keputusannya, hakim mengingatkan tertuduh perlu mempunyai lesen untuk menyimpan pelbagai jenis ular dan permit bagi mengadakan pameran ular.

Terdahulu, peguam Vijey Esvaren yang mewakili Azman Khan memohon mahkamah hanya mengenakan denda rendah ke atas anak guamnya kerana dia hanyalah peniaga pasar malam dan perlu menanggung adik-adiknya yang masih belajar.

Katanya, anak guamnya itu mewarisi kemahiran bapanya, iaitu Ali Khan Shamsuddin yang maut akibat terkena patukan ular tedung selar ketika membuat persembahan pada 2006.

Pegawai Pendakwa, Mohd Khairul Mubin Ab Satar dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar berhujah, tertuduh mempunyai 28 lesen untuk menyimpan pelbagai jenis ular namun tidak mempunyai permit untuk mengadakan pameran.

Katanya, tertuduh sepatutnya membawa ular-ular tersebut kepada pihaknya bagi membuat pemeriksaan tahap kesihatan ular tersebut, kerana ia boleh menyebarkan virus dan penyakit lain kepada orang awam yang berada dekat dengan reptilia itu pada pameran.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.