Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, jika syarikat-syarikat kereta terbabit tidak memanggil balik kenderaan mereka di pasaran, ia seolah-olah menunjukkan mereka tidak mempedulikan keselamatan pengguna.
“Ini amat perlu, tak boleh nak tunggu lagi dah. Maknanya segera mereka mengambil tindakan menarik balik dan menukar (SDI yang dibuat Takata).
“Dari segi piawainya, ia perlu disemak sebaik mungkin sama ada daripada SIRIM mahupun JPJ untuk menentukan pembuatan ini memenuhi segala piawai,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa Honda mengesahkan inflator SDI Takata pecah dalam dua kemalangan di Malaysia dalam tempoh dua minggu.
Dua kemalangan itu berlaku di Sabah dan Kedah, pada 16 April dan 1 Mei lalu.
Menurut Honda, kedua-dua kemalangan terbabit mengakibatkan kematian tragis pemandu, namun punca rasmi kematian untuk dua kes itu belum ditentukan.
Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman turut menggesa syarikat-syarikat kereta yang menggunakan beg udara Takata supaya memanggil balik kenderaan mereka dari pasaran bagi menguji semula tahap keselamatan beg udara berkenaan.
“Masih ada kereta yang menggunakan beg udara Takata dan tak ditarik balik,” tegasnya.
Pada masa sama, Mohd Yusof turut menggesa kerajaan menubuhkan sebuah organisasi pemantau keselamatan produk seperti di Amerika Syarikat.
“Organisasi ini tujuannya adalah untuk melaksanakan pemantauan produk-produk pengguna. Kalau didapati produk itu berbahaya, maka dia akan minta produk itu ditarik balik secara mandatori atau wajib. Sekarang ini di Malaysia kita tidak ada organisasi itu. Bila tidak ada, tak ada orang yang memantau.
“Sebab itu kita mendesak kerajaan supaya mewujudkan organisasi seperti ini untuk memeriksa mana-mana produk, bukan kereta sahaja. Apa-apa produk yang membahayakan kesihatan pengguna di bawah bidang kuasa organisasi ini supaya bila barang itu didapati bahaya ia mesti ditarik balik secara wajib,” katanya.
