Penduduk kampung bantu operasi SAR

Penduduk kampung bantu operasi SAR

Pelawaan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nahas helikopter di Batang Lupar, amat dinantikan.

batang-lupar

SRI AMAN:
Bagi Wan Amit Wan Kamil, 57, Ketua Kampung Siantan, Lingga, pelawaan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nahas helikopter di Batang Lupar, dekat sini, amat dinantikan.

Pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Lela Pahlawan, Lingga, itu berkata apabila dimaklumkan oleh polis beliau bersama-sama penduduk kampung dipelawa untuk membantu, tanpa fikir panjang terus bersetuju.

Keputusan Wan Amit pagi semalam itu nyata tepat dan ketika mengendalikan perahu di Batang Lupar, beliau menemukan beg galas yang dipercayai ada kaitan dengan nahas tersebut.

“Ketika bawa perahu di Sungai Selimbang dekat dengan Peleban kira-kira 7km dari pusat operasi, saya ternampak beg galas itu tersangkut dekat pokok pedada,” katanya kepada Bernama.

Wan Amit kemudian mengambil beg galas itu dan membawa pulang ke pusat operasi SAR di Lingga untuk tindakan lanjut oleh pasukan SAR.

Helikopter yang dinaiki enam orang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon hilang semasa dalam penerbangan dari Betong ke Kuching, petang Khamis.

Seorang lagi penduduk, Afendi Sahari, 51, mula menyertai operasi SAR sejak petang semalam namun dan beliau berhasrat dapat membantu lebih awal lagi.

“Semalam memang sibuk dengan hari mengundi. Saya hanya boleh ikut operasi pada petang, pelawaan diberi oleh polis untuk turut sama bantu operasi,” katanya yang sudah biasa membantu operasi di Batang Lupar.

Afendi berkata kawasan Batang Lupar memang terkenal dengan populasi buaya yang banyak, justeru pengalaman beliau digunakan membantu pasukan keselamatan.

“Tadi dalam perahu turut dinaiki oleh anggota keselamatan seperti polis dan tentera. Sampai di kawasan Peleban ada anggota nak basuh kasut, saya nasihatkan jangan sebab ini kawasan hitam ekoran pernah ada kejadian penduduk kampung dibaham buaya,” katanya.

Afendi, yang membantu operasi selama dua jam, berkata mereka akan menyambung tugas pada 3 petang, memandangkan fenomena benak akan berlaku di Batang Lupar pada 2 petang.

Sejak 8.05 pagi tadi, sejumlah lima perahu penduduk tempat dan lima penduduk kampung berdekatan Batang Lupar membantu operasi SAR.

Kesemua lima penumpang telah ditemui terkorban dan beberapa serpihan helikopter itu turut dijumpai di sekitar kawasan kejadian.

Gerakan SAR kini tertumpu untuk mengesan juruterbang helikopter serta badan utama pesawat itu.

-Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.