Dua pegawai Imigresen ditahan seludup warga Sri Lanka

Dua pegawai Imigresen ditahan seludup warga Sri Lanka

Selain itu 19 individu juga ditahan dimana enam daripadanya adalah rakyat Malaysia

fake-pasport

PETALING JAYA:
Dua pegawai Jabatan Imigresen disahkan antara 19 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan warga Sri Lanka ke negara tiga melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, tangkapan itu dibuat menerusi operasi Cawangan Khas pada 12 April hingga 6 Mei yang lalu.

Katanya, sindiket menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang dipalsukan untuk tujuan perjalanan ke Geneva dan Switzerland.

“Kesemua tangkapan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Enam ditahan adalah rakyat Malaysia, iaitu dua pegawai Imigresen, tiga ‘runner’ dan seorang ejen. Sepuluh lagi warga Sri Lanka terdiri daripada lima migran, tiga ejen dan dua fasilitator, manakala tiga lagi warga India berperanan sebagai ejen,” kataya dalam satu kenyataan dibuat hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata hasil siasatan mendedahkan sindiket membeli PMA tulen pada harga antara RM1,000 hingga RM2,500 setiap satu daripada pemilik pasport kalangan warga India tempatan yang mempunyai iras atau hampir sama dengan wajah migran Sri Lanka untuk dipalsukan bagi kegunaan migran terbabit ke negara ketiga.

“Sindiket seterusnya akan menguruskan laluan mudah kepada migran terbabit dengan bantuan pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter Imigresen KLIA dengan bayaran antara RM150 hingga RM350 setiap migran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi,” jelasnya.

Khalid berkata, warga Sri Lanka yang diseludup keluar akan menggunakan pasport Sri Lanka dan pas penerbangan tulen, menunjukkan mereka akan pulang ke negara asal.

Katanya, sebaik tiba di kawasan satelit, sindiket akan menyerahkan PMA palsu berserta pas penerbangan ke Belanda, seterusnya ke Switzerland.

“Sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM60,000 ke atas setiap migran terbabit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.