KOTA KINABALU: Sebuah Mesin Teler Automatik (ATM) milik sebuah bank di Membakut, dekat sini diletupkan awal pagi tadi sebelum wang tunai dianggarkan RM70,000 dilarikan.
Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Mohd Azmir Abdul Razak berkata kejadian itu berlaku kira-kira 2.15 pagi dan disyaki dilakukan lebih daripada seorang suspek.
“Sejurus menerima panggilan dari bank berkenaan selepas kejadian itu, kita menghantar sepasukan anggota ke lokasi. Sebaik saja tiba didapati sebuah mesin ATM musnah,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan bahan letupan buatan sendiri dan kini pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.
– BERNAMA
