ADUN Sekinchan sahut cabaran Jamal Yunos

ADUN Sekinchan sahut cabaran Jamal Yunos

Suee Lim melihat cabaran Jamal sekadar gimik politik untuk meraih publisiti kerana beliau tiada kuasa atau hak untuk menentukan siapa yang akan bertanding di PRK Sungai Besar nanti.

suee-lim-jamal
PETALING JAYA: ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim menyahut cabaran Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos untuk bersaing pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, jika diberi mandat oleh DAP dan Pakatan Harapan.

“Saya melihat cabaran beliau sekadar gimik politik untuk meraih publisiti kerana beliau tiada kuasa atau hak untuk menentukan siapa yang akan bertanding di Sungai Besar,” katanya yang dipetik Malaysiakini hari ini.

Semalam, Jamal dilaporkan sebagai berkata, beliau akan mengesyorkan dirinya untuk bertanding pada PRK Sungai Besar, jika DAP menurunkan Suee Lim pada PRK itu supaya mereka berdua dapat bersaing secara terbuka.

Jamal berkata, beliau sebenarnya tidak mahu bertanding pada PRK itu, tetapi lain ceritanya jika Suee Lim diturunkan.

“Beliau kata beliau begitu hebat dan disokong ramai, jadi marilah bertanding, saya boleh bersaing dengannya secara terbuka,” katanya semalam.

Jamal berkata, UMNO Bahagian Sungai Besar telah menyerahkan senarai tujuh calon kepada Badan Perhubungan UMNO Selangor pada April 2014 dan tujuh calon itu juga merupakan calon yang disyorkan pihaknya untuk PRK kali ini.

Jelasnya, beliau akan menghormati keputusan parti, jika tujuh calon itu tidak terpilih.

“Senarai tujuh calon itu turut meliputi wakil daripada pergerakan UMNO Wanita,” katanya.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal diadakan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter minggu lalu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.