Beliau berkata, kebanyakan mereka sudah berusia lebih 70 tahun dan telah membuat permohonan beberapa kali, namun ditolak kerana masalah dokumentasi.
“Saya tahu ada banyak kes di mana situasi sebenar tidak jelas. Namun bagi mereka yang sudah tinggal di sini sejak sekian lama, tidak patut ada pertikaian untuk mereka (diiktiraf) sebagai warga Malaysia.
“Mereka hanya mahu menjadi warganegara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam program MyDaftar anjuran bersama Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Pendaftaran Negara dan Gerakan hari ini.
Lebih seribu orang, majoritinya masyarakat India hadir ke program itu bagi menyelesaikan masalah berkaitan dokumen kelahiran, pengenalan dan kewarganegaraan.
Memetik laporan Bernama 21 Ogos lalu, MyDaftar telah berjaya menyelesaikan sejumlah 8,000 kes sejak dilancarkan pada Februari 2011.
Salah seorang hadirin, Krishna Dorasami, 56 tahun, berharap ini akan menjadi kali terakhir beliau membuat permohonan mendapatkan kad pengenalan.
“Saya tiada surat beranak. Ibu bapa pula meninggal ketika saya masih kecil dan saya tidak tahu macam mana untuk memohon sebelum ini,” katanya ketika ditemui.
Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Chan pula hadir bagi memohon kewarganegaraan untuk anaknya, selepas mendakwa permohonannya sudah banyak kali ditangguh JPN.
“Isteri saya warga Laos, tetapi anak sulung saya yang kini berusia enam tahun lahir di sini, sebelum kami berkahwin secara sah. Tidak tahulah sama ada (program) ini dapat selesaikan masalah saya atau tidak, cuba sahajalah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mah memaklumkan GERAKAN kini dalam peringkat akhir menyiapkan memorandum cadangan penambahbaikan sistem pendaftaran kewarganegaraan untuk diserahkan kepada kerajaan.
“Hal ini juga sudah dibawa ke Kabinet. Saya tidak berkuasa untuk memberi tempoh masa bagi masalah mereka (yang hadir hari ini) atau jaminan ia akan diselesaikan, cuma saya berharap kerajaan dapat mempercepatkannya,” katanya lagi.
