Pendekatan ini katanya, adalah langkah untuk mencapai kata sepakat antara pembangkang dalam menyaingi Barisan Nasional.
“Perbincangan mengenai dua kerusi masih berjalan, tidak akan ada kompromi terhadap komitmen yang telah dicapai dalam Pakatan Harapan,” katanya di Karnival Hari Ibu Lembah Pantai di sini, hari ini.
Katanya lagi, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sendiri telah mengambil inisiatif untuk membincangkan perkara itu dengan semua pihak sebelum tampil dengan kenyataan rasmi berhubung calon yang akan diletakkan di kedua-dua kawasan tersebut.
Berkenaan hakikat bahawa kedua-dua kerusi itu secara tradisinya milik PAS, Nurul Izzah berkata beliau menghargai pendirian PAS dalam mengeluarkan perintah larangan sementara menanti tamatnya perbincangan rasmi mengenai pilihan raya kecil.
Semalam, PAS mengeluarkan arahan kepada semua pemimpin dan ahli-ahlinya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pemilihan calon sebaliknya ia akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pusat parti.
“Kami tidak mahu ada persaingan untuk kerusi kerana apabila ada perlawanan tiga penjuru, maka kerusi itu jatuh ke tangan Barisan Nasional,” katanya merujuk kepada senario pilihan raya di Sarawak.
“Saya rasa ini juga pendirian yang akan diambil dalam mesyuarat PH nanti,” kata Nurul Izzah
Sementara itu, Izzah turut akui pihaknya menyedari sensitiviti perkara ini kerana ia melibatkan pelbagai pihak, bagaimanapun harapan pembangkang hanya satu iaitu bekerja bersama-sama mengalahkan BN.
PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan ekoran kematian wakil Parlimennya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sarawak minggu lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon dan pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil ialah 5 Jun dan 18 Jun masing-masing.
