TPM ingat semua nama guru yang mengajarnya

TPM ingat semua nama guru yang mengajarnya

Ahmad Zahid bukan sahaja ingat semua nama guru yang telah mendidik beliau malah masih berhubung dengan guru atau keluarga guru tersebut.

zahid-hamidi

PETALING JAYA:
Bukan mudah untuk mengingati nama semua guru dan pendidik yang mengajar kita, lebih sukar untuk terus berhubung dengan mereka.

Berbeza dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, beliau bukan sahaja ingat semua nama guru yang telah mendidiknya dari darjah satu hingga ke sekolah menengah malah masih berhubung dengan guru atau keluarga guru tersebut.

“Jasa guru amat bermakna dan menyebabkan saya tidak pernah putus hubungan akrab dengan guru yang telah mendidik saya.

“Hingga sekarang hubungan saya dengan mereka dan keluarga mereka, sama ada yang masih hidup mahupun guru-guru yang sudah meninggal masih terus intim.

“Ini kerana saya sangat menghargai sumbangan mereka walaupun itu (hubungan antara murid dan guru) adalah tugas dan profesion mereka.

“Hubungan saya dengan mereka itu lebih rapat daripada hanya tugas rasmi,” katanya sempena sambutan Hari Guru 2016, lapor Astro Awani.

Beliau juga mengimbas kenangan zaman persekolahan di mana beliau merupakan seorang murid aktif dan menjadi ketua darjah dari tahun satu hinggalah ke sekolah menengah.

Ahmad Zahid yang turut mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua guru di negara ini berharap mereka akan sentiasa beristiqamah dan ikhlas dalam menyebarkan ilmu kepada pelajar.

“Saya yakin bukan hanya ganjaran yang akan datang tetapi kita tahu penghargaan daripada pelajar dan murid-murid yang menerima ilmu daripada mereka”, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.