Isu rasuah wang dan wanita: Perkasa pertikai integriti Rafizi

Isu rasuah wang dan wanita: Perkasa pertikai integriti Rafizi

Rafizi sepatutnya mendedahkan salah laku itu tanpa perlu merujuk kepada presiden partinya.

ibrahim-ali

KUALA LUMPUR:
Perkasa mendesak Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bertindak sebagai seorang ‘whistleblower’ sejati.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata Rafizi yang sering mendedahkan salah laku dalam pentadbiran kerajaan harus mengambil pendekatan serupa dengan mendedahkan tindakan rasuah wang dan wanita itu kepada umum.

“Rafizi ini seorang ‘champion whistleblower’, tetapi sekarang dia tidak boleh hendak dedahkan apa maklumat yang diperolehnya.

“Kalau dia konsisten, Rafizi patut dedahkan salah laku itu tanpa perlu merujuk kepada presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perkasa, hari ini.

Ibrahim berkata jika dilihat sikap dan tindakan ahli Parlimen Pandan itu sebelum ini, beliau gemar membuat pendedahan walaupun belum tahu perkara sebenar, namun perkara yang sama tidak diguna pakai apabila melibatkan masalah dalaman parti.

“Dia hanya boleh dedahkan kepada presiden dia. Mana aci (adil) macam tu. Jika dia konsisten dan lelaki yang mempunyai integriti, dia patut dedahkan tanpa mengira mana-mana pihak termasuk partinya sendiri,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata Rafizi perlu mencontohi prinsip yang dimiliki ahli Parlimen di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun.

“Seorang pemimpin yang sejati dan berintegriti tidak akan berkompromi dengan mana-mana parti yang dia sertai.

“Lihat politik di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, walau apa pun parti yang disertai, bila ke Parlimen, mereka akan buat keputusan berdasarkan pendiriannya sendiri.

“Malah, seseorang itu boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan parti. Dia boleh bersetuju dengan ketua atau tidak, boleh undi menyokong atau menentang,” katanya.

Ibrahim juga mempersoalkan adakah berlaku pilih kasih dalam menegakkan kebenaran dan Rafizi hanya mendedahkan penyelewengan musuhnya saja.

“Penyelewengan sesama sendiri kena tutup, jadi undang-undang mana yang dipakai. Kalau dia ikhlas jujur dia kena beritahu dan dedahkan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan Rafizi membawa bukti berhubung dakwaan rasuah membabitkan “permintaan wanita” dan wang dalam kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.